"Tok,tok,tok!!"
Pintu rumah diketuk kuat.Disebabkan rumahnya diperbuat daripada kayu,bunyi ketukan tersebut kedengaran sehingga mengejutkan tidurnya.
"Woi,cepatlah buka!"
Puan Normah mengenali suara tersebut.Dia semakin takut memikirkan keadaan yang akan dia lalui.Adakah wang simpanannya akan dirampas lagi ataupun dirinya akan dicederakan oleh pemuda berusia 21 tahun tersebut?
Tanpa berfikir lagi,dia memberanikan diri untuk membuka pintu tersebut.
Sejurus selepas pintu rumahnya dibuka,Luqman terus menerjah masuk dan terus bergerak ke dalam bilik emaknya.
"Sudah-sudah lah tu Luqman,berhentilah buat kerja-kerja macam ni.Malu kamu tahu tak nak menghadap orang kampung.Keluar je diorang asyik bercakap tentang kamu." Nasihat Puan Normah.
Luqman ketika itu hanya mendengar sahaja kata-kata wanita berusia setengah abad itu.Masuk telinga kanan,keluar telinga kiri.Dia meneruskan 'operasinya'.
Puan Normah kelihatan tenang.Nampaknya,anaknya itu langsung tidak mengetahui di mana tempat wang simpanan itu berada.Dia terus berusaha menasihati anaknya yang tercinta itu.
"9 bulan mak tahan sakit nak lahirkan kamu!Mak selalu doakan kamu menjadi anak yang berjaya,anak yang soleh.Kenapa kamu asyik menghampakan perasaan mak?Pagi-pagi buta dah keluar beli dadah.Petang pula melepak dekat bangunan lama tu.Malam pula kamu merempit!Ingat mak tak tahu?!"
"Woi,orang tua!Kau senyap boleh tak?Ni yang aku malas nak duduk rumah ni!Asal balik je bising,tak boleh senyap ke?"
Api kemarahan Luqman sudahpun menjulang tinggi.Tambahan pula,dia langsung tidak menjumpai wang milik ibunya untuk dia membeli barang-barang haram tersebut.
"Kau cakap sekarang mana kau simpan duit?"
"Hmpph,kau ingat senang-senang aku nak bagi duit?Kalau kau jadi anak yang baik,aku rela dan halal lah kalau kau nak ambil duit aku pun!"
Puan Normah terpaksa berkeras selepas anaknya semakin bertindak agresif.Tidak tahan dengan kata-kata maknya,Luqman terus menggapai tangan ibunya dan berusaha sedaya-upaya mengeluarkan cincin emas yang tersisip rapi di jari ibunya.
Puan Normah pula melawan.Namun,kudratnya tidak mampu untuk menandingi Luqman.Akhirnya,dia pasrah dan membiarkan cincin tersebut berpisah dari jarinya.
"Kalau kau bagi elok-elok kan senang!Tak ada aku jadi macam ni!"
Luqman terus meninggalkan ibunya sendirian tanpa ada belas kasihan pun terhadap ibunya yang sudah lemah dimamah usia.
*****
"Nah,ambik ni.Kau pergi lah mana-mana 'Ah Meng' untuk pajak benda ni.Janji barang aku ada."
"Beres boss,nah barang kau.Untung aku buat kerja ni.Hahaha!"
Bob terus memberi 10 peket plastik kecil berisi bahan yang berwarna merah itu kepada Luqman.Memadai dengan sebentuk cincin emas yang diberi kepadanya.
"Ori ehh cincin ni?Kalau tak,aku upah orang belasah kau tau!"
"Ye,ori.Fresh dari London tu.Hahaha."
"Tak lawak lah!" Bob mulai serius.
"Kau ingat ehh,kalau kau pecahkan rahsia budak-budak aku jual barang.Siap kau.Kalau kau kena tangkap,biar kena sorang-sorang."
"Ye,dah dah.Blah lah kau."
"Kau ingat Luqman!Inilah risiko yang kau kena tanggung kalau nak barang dengan kitorang." Bob mulai kasar.Dia mengeluarkan pisau lipat sambil meletakkan ke arah halkum Luqman.
"Okay,aku faham."
Petang itu,seperti biasa,Luqman dan rakan-rakannya 'melepak' di belakang bangunan yang sudah lama ditinggalkan itu.
Di saat mereka bersuka ria menikmati 'barang' yang dibeli,tiba-tiba tempat mereka diserbu oleh sekumpulan polis.
"Kurang ajar punya polis!" Luqman terkejut apabila kawasan bangunan lama tersebut sudahpun dikepung oleh polis.Fariq,Man Toda dan Aleng sudahpun berjaya ditangkap.Guna dan Prem berjaya meloloskan diri.
Dia cuba untuk bersembunyi di sebalik semak.Melihat keadaan yang sudah tenang,dia mula berlari meredah hutan untuk mengelakkan bertembung dengan polis.Tiba-tiba,
"Pum,pum,pum!"
Tiga das tembakan dilepaskan oleh Sarjan Farizul tepat mengenai kaki,bahu dan dada Luqman.Luqman rebah dan jatuh ke tanah.Kepalanya pula terhentak di atas seketul batu yang besar sehingga membuatkan dirinya pengsan.
*****
"Aku dekat mana ni?"
"Tolong!Ada sesiapa dekat luar tak?"
Luqman berasa tidak selesa.Dia merasakan dirinya seolah-olah berada di dalam sebuah kotak kecil yang gelap.Tiba-tiba,hidungnya tercium satu bau yang amat busuk seperti bau mayat manusia yang sudah mereput.
Ruang di dalam 'kotak' tersebut makin lama,makin mengecil sehinggakan kaki Luqman membengkok.Badannya seolah-olah sedang dimampatkan.Dia menjadi bingung.Apakah yang berlaku sebenarnya kepada dirinya?
"Tolong!!Tolong aku woii!!" Luqman menjerit meminta pertolongan.
Seruannya itu tidak disahut.Tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu yang menjalar di kakinya.Sungguh,dia amat takut ketika itu.Makhluk tersebut terus menjalar sehingga membelit tubuhnya.Luqman tidak dapat bernafas.
"To..tolong..aa..akuu!!"
Dalam keadaan yang sukar bernafas,ditambah lagi dengan ruang yang gelap dan sempit,dia mendengar bunyi seakan-akan rantai besi diseret.Bunyi tersebut semakin lama semakin kuat menunjukkan rantai besi tersebut semakin hampir dengannya.
"MA RABBUKA?"
Luqman bingung.Dia langsung tidak memahami pertanyaan 'suara' tersebut.Dia cuba menarik nafasnya dan kemudian membalas,
"Aa..aku tak ta..tak tahu!"
"Syinggg!!"
"Aaarghhh sakiittt!!"
Luqman mengerang kesakitan akibat tidak menjawab soalan tersebut.Dia merasakan seolah-olah dirinya dilibas oleh sebilah pedang yang amat tajam.
"MA NABIYUKA?"
Luqman sekali lagi tidak mengetahui apa yang ditanyakan kepadanya mahupun jawapannya.Dengan tenaga yang ada,dia cuba menjawab,
"Aku tak tahu!"
Libasan pedang kedua hinggap tepat di dada Luqman.Darah mula memancut keluar dari dadanya.Luqman mengerang kesakitan.Tidak pernah dia merasa kesakitan sedemikian.
Makhluk yang membelit dirinya juga semakin menambah kekuatan belitannya.
"MA DINUKA?"
"Aaa...akuu..ta..taa..tak tahu..!"
Luqman cuba untuk bernafas,namun gagal.Belitan makhluk tersebut semakin kuat.Suara yang sering menghantui dari tadi sudahpun tiada.
"Prakk!prakk!prakk!"
Kedengaran,satu per satu tulang Luqman patah.Sakit.Dia mula menjerit sepuas-puasnya.Namun,selepas dia menjerit,dia semakin sukar untuk bernafas.
Luqman semakin kaget,selepas dia dapat merasakan bukan seekor sahaja 'makhluk' yang membelitnya tetapi banyak!Dia cuba untuk melawan namun luka yang parah di dadanya menerencatkan usahanya.Dia pasrah.
"Allahu Akbar!" Luqman bertakbir.
Luqman tersedar,dia bangun dari tidurnya.Lega,kerana itu semua hanya mimpi semata-mata.Namun,dia mula berasa pelik dan janggal.Tempat dia bangkit bukanlah di rumahnya mahupun di balai polis.Dia masih lagi mengingati peristiwa yang berlaku di belakang bangunan lama tersebut.
Mentari mengeluarkan sinarnya yang terik dan panas.Dia sedar,dia kini berada di sebuah padang pasir.Pelik,bagaimana Luqman boleh tiba di situ?
Luqman bangun,dia berpaling ke belakang,terlihat begitu ramai manusia sedang berjalan.Dia berpaling ke kiri dan ke kanan.Sungguh,begitu ramai manusia yang berkumpul dan berhimpun.Di sebalik kesesakan tersebut,terlihat juga pelbagai jenis binatang turut mengekori bersama.
"Wahai Nabi Allah Adam Alaihissalam,pohonlah kepada Allah Yang Satu agar mempercepatkan urusan di mahsyar ini!Sungguh,kami tidak mampu lagi untuk menahan pedih dan azabnya di sini."
"Bagaimanakah untuk aku memohon kepada Allah,sedangkan aku sendiri tidak mengetahui adakah aku akan selamat ataupun tidak.Sedangkan aku pun melanggar perintah Allah,bagaimana aku boleh membantumu?Pergilah kalian kepada Nabi Ibrahim!Mintalah kepadanya berdoa kepada Allah Azawajalla."
Balas seorang manusia yang dikenali sebagai Nabi Adam tersebut.Lalu berlarilah seluruh umat manusia berjumpa dengan Nabi Ibrahim Alaihissalam.
"Wahai Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam,panjatkanlah doa buat kami agar mempercepatkan urusan di mahsyar ini!"
"Dahulu,aku pun berdusta sebanyak tiga kali.Hari ini,aku tidak tahu apakah nasib yang akan menimpa diriku.Pergilah kamu wahai umat manusia kepada Musa.Dia adalah Kalimullah.Mintalah kepadanya agar urusan di mahsyar ini dipercepatkan.
Luqman pun turut serta menyertai umat manusia ketika itu mencari-cari Nabi Musa Alaihissalam.Permintaan yang sama juga mereka pohon kepada Nabi Musa.Jawapan yang sama juga dikemukakan oleh Rasul Ulul Azmi itu.
"Aku pun dulu membunuh orang!Aku langsung tidak mengetahui nasib diriku ini.Aku meminta maaf kepada kalian.Bergeraklah kamu berjumpa dengan Isa ibnu Maryam!Pergilah kamu kepadanya."
Dalam keadaan matahari sejengkal di atas kepala,ditambah lagi dengan kehausan dan kelaparan bagi orang-orang yang kafir,munafik dan fasiq.Mereka bergerak dan mencari di manakah Rasul Allah yang suci itu.
"Aku minta maaf,bukanlah diriku untuk membantu kalian agar urusan di mahsyar dipercepatkan.Wahai kaum muslimin,pintalah engkau kepada Habibullah,Kekasih Allah,Sayyidul Anbiya' Wal Mursalin iaitu Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam."
Lalu,kaum manusia pun mengatur langkah mencari Muhammad Rasulullah itu.
"Akulah orangnya yang pada hari ini diberi keizinan membantu kalian wahai umat manusia!"
Luqman melihat sahaja tingkah-laku lelaki yang dikenali sebagai Muhammad itu.Akhirnya,lelaki memulakan sujudnya.Sujud yang panjang dan lama.Seluruh umat manusia menunggu dengan penuh sabar.
Setelah lama bersujud,dengan izin Allah,Muhammad mengangkat kepalanya.Ditadah tangannya memohon kepada Tuhan agar dipercepatkan urusan di mahsyar.Akhirnya,berkat doa seorang nabi dan rasul,Allah Subhanahu wa Taala mengabulkan doa tersebut.
*****
Jantungnya berdegup kencang selepas melihat sebuah penimbang yang dikenali sebagai 'mizan' berada di hadapannya.Buku amalannya dikeluarkan dari Sijjin lalu dihamparkan dihadapannya.Saat itu,barulah dia sedar bahawa dirinya ketika ini bukanlah berada di bumi Allah.Namun,dia berada di dunia Mahsyar.Terlintas secara tiba-tiba kisah yang diceritakan oleh ustaz semasa di bangku sekolah dahulu.Situasinya amat sama dengan apa yang dilalui oleh Luqman.Luqman amat takut dengan nasibnya selepas ini.Adakah destinasinya akan menuju ke syurga ataupun neraka?
"Masuklah kamu ke dalam pintu itu!"
Luqman pun mengaturkan langkah menuju ke pintu yang bercahaya tersebut.Hatinya berasa girang tatkala dia memikirkan dia akan mengorak langkah menuju ke sebaik-baik tempat kembali.
Gelap.Sejurus sahaja dia menutup pintu tersebut,suasana di dalam menjadi amat gelap.Luqman mula takut.Trauma dengan kejadian yang pernah menimpanya suatu ketika dahulu.
Dari jauh kelihatan cahaya merah kejinggan bersinar terang.Cahaya tersebut memancar dan menjulang tinggi sehingga hampir menerangkan suasana di dalam 'bilik' itu.Luqman menapak perlahan-lahan menuju ke cahaya tersebut.
"Apakah!"
Dia terkejut,melihatkan dirinya benar-benar berada di sebuah tebing yang curam.Di bawah tebing tersebut,kelihatan api-api yang menjulang tinggi.Jantung Luqman mula berdegup kencang.Kawah yang besar dan dipenuhi dengan lautan api hampir menggugurkan jantungnya.Daratan yang nun jauh di sana hampir tidak kelihatan.Yang jelas hanyalah lautan api yang tiada berpenghujung.
Luqman ternampak kelibat ibunya,melutut sambil menadah tangan seakan-akan sedang berdoa.
"Ya Allah,kau bantulah aku untuk melepasi titian ini,janganlah Engkau mencampakku ke neraka Jahannam."
Selepas membaca doa,Puan Normah bingkas bangun.
"Bismillahirrahmanirrahim."
Dengan sepantas kilat,kelibat Puan Normah tidak lagi kelihatan.Dia berjaya melepasi titian tersebut dengan mudahnya.Itulah pentingnya iman dan amal selagi kita masih hidup di muka bumi ini.
"Mak!Tunggu Luqman!"
"Aarghhh!!"
Tanpa disedari,Luqman yang cuba mengejar ibunya itu terus mengatur langkah ke arah kawah besar itu.Namun apakan daya,tanpa iman dan amal sudah pasti mustahil untuk melepasi titian yang lebih tajam dari pedang.Akhirnya Luqman jatuh ke dalam lubang yang besar tersebut.
"Kita semua sesat disebabkan dia!"
"Dia sudah memperdayakan kita!"
"Betul,disebabkan dia kita jadi macam ni!"
"Apa tunggu lagi,mari kita kejar dia!"
Luqman ketika itu baru sahaja jatuh ke dalam neraka Allah terpinga-pinga tatkala sekumpulan manusia sedang mengejar seekor makhluk yang bersayap dan bertanduk.Dalam keadaan yang lemah,dia mengekori kumpulan manusia tersebut sehinggalah makhluk tersebut tidak lagi dapat dikejar.
"Mana Si Iblis tak guna ni!"
Makhluk yang mengerikan itu akhirnya memunculkan diri di atas bukit batu yang tinggi.
"Hey,kau!Disebabkan kau kami jatuh ke neraka ini kau tahu tak?Dasar iblis tak guna!" Pekik salah seorang daripada kumpulan manusia tersebut."
Mendengar sahaja kata-kata manusia tersebut,makhluk bertanduk tersebut memulakan bicaranya.
"Wahai penghuni neraka sekalian,sesungguhnya Allah itu berjanji kepada kamu dengan janji yang benar!Dan aku pun berjanji kepada kamu namun aku menyalahinya! Sesungguhnya,aku tidak mempunyai sebarang hak ke atas kamu semua!Melainkan aku menyeru kepadamu lalu kau mematuhi seruanku!Oleh itu,janganlah kamu mencerca aku sebaliknya cercalah diri kamu sendiri!Aku sekali-kali tidak mampu untuk membantumu dan kamu pula tidak akan sekali-kali mampu untuk membantuku!"
Selepas mendengar khutbah yang disampaikan oleh makhluk yang mengerikan tersebut,entah bagaimana,air mata Luqman terus deras mengalir.
"Ya Allah!Wahai Tuhanku!Ampunilah dosa aku!Ampunilah dosa aku Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun!"
Meskipun dia mengetahui,sesesal manapun perasaannya terhadap dosa-dosanya sebelum ini masih lagi dia tidak dapat mengubah keputusan Allah Yang Satu.
Malaikat Zabaniyah sudahpun tiba,menanti giliran tubuh diseksa.
Alangkah baiknya jikalau air mata ini jatuh tatkala di dunia dahulu.
"Allahu Akbar!Ampunilah kami!"
Seksaan demi seksaan dilakukan ke atas penghuni neraka.Ada juga yang cuba melarikan diri daripadanya,namun dihumban kembali oleh Allah SWT ke dalamnya.
Penat.Luqman sudah lali dengan seksaan yang dilakukan terhadapnya.Tiada lagi air mata yang mampu dikeluarkan.Sungguh,azab neraka itu amat pedih.Tatkala dirinya sudah hangus terbakar,diganti pula dengan kulit yang baru dan diperlakukan semula sedemikian.
Matanya tidak mampu lagi untuk mengeluarkan air mata sehinggakan yang keluar hanyalah darah.Saat itu,dirinya amat lemah.Mahu juga dia mahu mengelak buat seketika daipada azab tersebut,namun itu semua adalah mustahil.
Perutnya mula lapar dan tekaknya mula kering.Luqman mencari-cari makanan dan minuman di dalam neraka Allah.Namun,dia hanya menjumpai pohon-pohon yang tajam dan anak-anak sungai yang berapi dicampur dengan nanah dan darah yang berbau busuk.
Sesungguhnya,tiada lagi makanan dan minuman bagi penghuni neraka melainkan Pohon Dhori' yang tidak akan menghilangkan rasa lapar mereka.Mereka juga akan dihidangkan dengan Pohon Zaqqum yang membuatkan usus mereka terburai kerana kepanasannya.
Mereka akan meminum minuman yang dikenali sebagai Al-Ghassaq yang diperbuat daripada nanah dan berbau amat busuk,Al-Hamim yang akan membuatkan perut mereka hancur dan Ghislin sehinggakan mereka tidak mahu meminumnya tetapi terpaksa juga untuk menelannya.
Sungguh,amatlah pedih dan azabnya seksaan neraka bagi orang-orang kafir,fasiq dan munafik.Justeru,kumpullah amalan kita mulai sekarang agar kita tidak dimasukkan ke dalam tempat seburuk-buruknya tempat kembali.
****
Entah berapa lama dia di dalam neraka Allah SWT.Luqman cuba untuk memanjat bukit untuk melarikan diri dari neraka tersebut.Disebabkan permukaan neraka tersebut amat curam,adakalanya dia merangkak,ada kalanya dia berjalan dan adakalanya mukanya tersembam ke permukaan neraka tersebut
"Erghh..aku dah penat."
Mulut sahaja berbicara namun tubuhnya tetap berusaha untuk memanjat permukaan yang curam tersebut.Setelah sekian lama berjalan dan mendaki,akhirnya dia menjumpai titian yang pernah dilalui olehnya dahulu.Berbeza dengan waktu pertama kali dia bertemu dengan titian tersebut,Luqman kelihatan tenang.Dengan izin Allah,dia berjaya melepasi titian tersebut.
"MasyaAllah!Adakah ini syurga?" Monolog Luqman sendirian.Kagum melihat keindahan suasana di hadapannya.Sungguh,dia tidak pernah melihat suasana yang seindah ini.
Monolognya itu terhenti selepas dia melihat sebuah pohon yang rendang dan terdapat sungai yang mengalir di bawahnya.Lantas dia berkata,
"Wahai Tuhanku,berikanlah aku keizinan untuk berehat di bawah pohon itu,aku teringin untuk meminum air sungai itu."
"Jikalau Aku kabulkan permintaan kamu,adakah kamu berjanji tidak akan memintanya lagi?"
"Aku berjanji tidak akan memintanya lagi Ya Allah."
Selepas mendapat keizinan,Luqman pun terus mengatur langkah menuju ke pohon tersebut.Kagum melihat keindahan ciptaan Tuhan Yang Satu.Matanya tiba-tiba terlihat sebuah pohon yang lagi rendang dan air sungai yang mengalir di bawahnya adalah lagi jernih berbanding dengan sungai yang berada di hadapannya.
"Ya Allah,bolehkah Engkau berikan keizinan kepada aku untuk duduk di pohon itu?"
"Bukankah engkau sudah berjanji kepada Ku yang engkau tidak akan meminta lagi.?"
"Aku berjanji Ya Allah aku tidak akan meminta lagi."
Luqman pun terus berjalan ke pohon tersebut.Usai sahaja dia menikmati pemandangan dan menghirup serta menikmati air sungai tersebut.Matanya sekali lagi tertarik ke arah sebuah pohon yang lebih besar dan sungai di bawahnya lebih luas berbanding dengan pohon-pohon dan sungai-sungai sebelum ini.
"Wahai Tuhan,bolehkah Engkau berikan aku keizinan untuk aku duduk di pohon itu?"
"Bukankah engkau sudah berjanji tidak akan meminta lagi?"
"Aku berjanji Ya Allah tidak akan meminta lagi."
Kakinya menapak menuju ke arah pohon tersebut.Lega selepas meminum air sungai yang sejuk.Suasana di pohon itu amat tenang.Tidak pernah dia merasakan ketenangan sedemikian.Lalu,dari jauh matanya terlihat sebuah pintu.Tanpa disedari,itulah pintu buatnya menuju ke syurga.
"Ya Allah,berikanlah keizinan untuk aku masuk ke dalam pintu itu."
"Bukankah engkau sudah berjanji untuk tidak meminta lagi?
"Aku janji tidak akan meminta lagi."
Selepas mendapat keizinan,Luqman terus berjalan menuju ke pintu tersebut.Tatkala pintu syurga tersebut dibuka,Luqman kecewa selepas mendapati syurga itu sudahpun penuh.
Dengan perasaan yang kecewa,dia keluar lalu berkatalah dia kepada Allah apa yang disaksikan olehnya.
"Masuklah kamu kembali ke dalamnya."
Sekali lagi,dengan perasaan yang kecewa,dia keluar dari syurga tersebut.
"Adakah Engkau cuba untuk mempermainkan aku wahai Tuhanku?"
"Ingatkah engkau akan kenikmatan dunia?"
"Ya Ya Allah,aku ingat."
"Aku memberikan kepadamu 10 kali ganda kenikmatan dunia dan kekallah engkau di dalam syurga buat selama-lamanya."
Air mata Luqman terus mengalir melihat kasih sayang Allah terhadapnya.Pernah juga terlintas di fikirannya bahawa Allah tidak sesekali akan mengampuni dosanya.Namun,dia silap.Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mengasihani hamba-hambanya.
Dia pun terus mengatur langkah untuk masuk ke dalam syurga.
*****
"Fasubhanallazi biyadihi mala ku tukulli syai'in wai'laihi tur jau'nn"
"Sadaqallah hul a'zimm."
Kelopak mata Luqman akhirnya terbuka selepas 2 bulan dia berada dalan keadaan koma.
"Mak..mak.." Kata Luqman,perlahan.
Puan Normah yang ketika itu baru sahaja selesai membaca surah Yaasin terus tersentak selepas mendengar seruan daripada anaknya itu.
"Luqman,kau sudah sedar nak?Alhamdulillah,kau dah sedar nak!"
Air mata Puan Normah mengalir deras sambil mengucapkan syukur kepada Allah SWT.Lantas Puan Normah menekan-nekan butang di sisi katil Luqman untuk memberikan isyarat kepada doktor bahawa Luqman telahpun sedar.
"Mak..Luqman nak.."
"Kejap lagi kita bercakap ye nak?Luqman rehat dulu.Kejap lagi doktor akan check tahap kesihatan kamu."
Luqman hanya tunduk,kepalanya masih lagi berasa sakit akibat daripada hentakan di kepalanya 2 bulan yang lepas.Tidak lama selepas itu,Doktor Zulkarnain dan beberapa orang jururawat memasuki bilik tersebut.
"Puan sila keluar ye.Kami akan memeriksa sebentar keadaan Luqman." Arah salah seorang jururawat.
Puan Normah menunggu di luar wad dalan keadaan yang tenang.Bibirnya tidak pernah lali mengucapkan kalimah 'Alhamdulillah'.Akhirnya Doktor Zulkarnain keluar dari wad.
"Luqman masih lagi dalam keadaan yang lemah puan,dia perlu berehat buat sementara waktu.Namun,dia mahu bercakap dan berjumpa dengan puan." Kata Doktor Zulkarnain.
"Terima kasih doktor."
Puan Normah mengatur langkah memasuki wad.Terus dia mengambil tempat duduk di sisi Luqman.
"Mak..Luq..Luqman nak minta ma..maaf dekat ma..mak." Kata Luqman,lemah.
"Mak dah lama dah Luq maafkan Luq.Sekarang ni mak bersyukur sangat kamu dah sedar."
"Tapi..ma..mak..Luq dah banyak bu..buat dosa dekat mak..Luq tak nak masuk ne..neraka..sa..sakit mak.."
Melihat Luqman sudah mula menitiskan air mata,Puan Normah cuba untuk memberi sedikit kata-kata semangat kepada Luqman.
"Sudahlah Luq,Allah itu Maha Pengampun.Jikalau sebesar manapun dosa kamu,kamu bertaubat,InsyaAllah.Allah akan menerima taubat kamu."
"Ta..tapi..Luq buat do..dosa besar mak!Luq derhaka dekat mak!Luq ma..makan makanan haram!Luq mi..num arak mak!Allah naa..nak am..punkan ke dosa Luq ni?Luq ra..rasa dosa Luq..tak diampuni oleh Allah mak!"
Lebih deras air mata Luqman jatuh membasahi pipi.Puan Normah pula turut sama.Perasaan terharu mula menyelubungi dirinya selepas anaknya itu sudahpun ditunjukkan hidayah oleh Yang Maha Pemberi Hidayah.
"Luq..Luqman na..nak minta ampun sangat-sangat de..dekat mak kalau dalam masa ter..de..terdekat ni Luq pergi..ha..halalkan ma..makan minum Luq dan doakan dosa Luq diam..puni Allah."
Luqman tersedu-sedu pabila dia memohon pengampunan ibunya.Jauh di dalam sudut hati,dia memohon keampunan dari Tuhan Yang Satu.
"Ya Allah,sesungguhnya aku adalah manusia yang jahil.Ampunilah segala dosaku Ya Allah!Ampunilah ia Ya Allah!Tiada sesiapa lagi yang boleh ku pohon melainkan Engkau!"
Tiba-tiba,Luqman seolah-olah tidak dapat bernafas meskipun topeng oksigen masih lagi kemas di mulut dan hidungnya.Melihat keadaan tersebut,Puan Normah sekali lagi menekan-nekan butang di sebelah katil anaknya itu.
Mengetahui ajalnya semakin hampir,Luqman sekali lagi memohon ampun kepada ibunya.
"Ma..mak..maafkan..Luq..bo..leh?"
"Mengucap nak,mengucap."
Balas Puan Normah.Tidak dijawab soalan tadi.Namun,di lubuk hatinya sudahpun dia memaafi setiap kesalahan anaknya itu.Puan Normah kelihatan sugul melihat anaknya itu sedang bertarung nyawa.
"Ya Tuhanku,ji..kalau ini pengakhiranku..a..ku terima.."
Malaikat Izrail sudahpun tiba di sisi Luqman.Apabila roh berpisah dari badan,Luqman akan meninggalkan dunia yang fana ini buat selama-lamanya.
"Asy-hadu alla ila ha illAllah,Wa asy-hadu anna Muhammad Rasulullah."
Luqman sempat melafazkan kalimah suci tersebut dengan lancarnya tanpa perlu bantuan daripada ibundanya.Saat itu,tiba-tiba hujan membasahi bumi dengan lebatnya.Seolah-olah menangisi pemergian seorang hamba Allah yang ketika hidupnya penuh dilumuri dengan dosa namun sempat bertaubat sebelum tiba ajalnya.
"Innalillahi wainna ilaihi raji'un."
Puan Normah menangis teresak-esaknya selepas Luqman menghembuskan nafasnya yang terakhir.
"Semoga syurga buatmu wahai anakku."
Ingatlah,selagi masih diberikan keizinan untuk hidup di muka bumi ini,janganlah sesekali lupa untuk bertaubat dan memohon keampunan daripada-Nya.Walaupun jatuh berulang kali dilumuri dosa,bangkitlah,angkatlah tanganmu dan berdoa serta pohonlah keampunan Yang Maha Esa.Sesungguhnya,Dialah Maha Menerima Taubat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan