THANKS CAUSE SUPPORT GUYS

Jumaat, 8 Oktober 2021

Terbitnya Fajar di Itaewon

Akibat dirinya sudah lagi tidak stabil,Ha-Neul terpaksa dibawa pulang dan dipapah oleh dua orang rakannya iaitu Hana dan Eun-Tak.Mereka bertiga bercadang untuk berpesta di kelab malam di bandar Seoul sempena menyambut kejayaan mereka berjaya mendapat keputusan dengan cemerlang dalam peperiksaan sekolah.Namun,tabiat Ha-Neul yang sudah ketagih dengan minuman keras menyebabkan dia mengambil minuman tersebut secara berlebihan sehingga dirinya mabuk.

"Mak cik!Pak cik!Buka pintu ini,kami membawa pulang Ha-Neul!" Pekik Hana memecah keheningan malam di kawasan perumahan tersebut.

Mendengar pekikan tersebut,ibu bapa Ha-Neul bergegas keluar dari bilik mereka dan membuka pintu rumahnya.Alangkah terkejutnya mereka selepas melihat anak tunggal mereka itu lemah sambil dipapah oleh dua orang gadis lain.

"Bawa Ha-Neul masuk cepat!" 

Selepas Hana dan Eun-Tak membaringkan Ha-Neul di atas sofa,serta-merta mereka 'dibantai' dengan kata-kata tajam dari Encik Hwan.

"Apa yang kamu telah buat dekat anak saya?Ha-Neul kata kamu bertiga hanya mahu berjalan-jalan sahaja di bandar Seoul.Tapi ini apa!Mengapa dia pulang dalam keadaan yang begini?Jawab pertanyaan saya!" 

Gerun Hana dan Eun-Tak melihat muka Encik Hwan yang merah-padam.

"Kami cuba untuk menahannya dari minum tapi dia berkeras." Eun-Tak mula bersuara.

"Benda ini tidak akan berlaku jika kamu membawa dia ke tempat itu!Adakah kamu semua sudah merancang untuk pergi ke kelab malam?" 

"Ya." Jawab mereka serentak.

"Ha-Neul,berani kamu tipu ayah." Encik Hwan mengeluh.

"Sudahlah tu bang,malam-malam ni.Nanti apa pula kata jiran-jiran kita." Puan Hwa tidak tahan lagi melihat suaminya memarahi dua orang remaja wanita itu.

Encik Hwan diam seketika.

"Sebelum saya mengamuk,baik kamu berdua pergi dari sini!Pergi!" Arah Encik Hwan dalam keadaan yang marah.

Hana dan Eun-Tak pun menuruti sahaja arahan dari Encik Hwan,tidak mahu lagi dia dimarahi oleh seorang dewasa berusia 40 an itu.Ha-Neul yang berada dalam keadaan yang tidak sedarkan diri itu dipapah oleh kedua orang tuanya menuju ke dalam biliknya.Dibiarkan anak perempuannya itu tidur semalaman.

*****

"Ha-Neul!Ha-Neul!Bangun!"

Mata Ha-Neul terbuka luas selepas mendengar suara tersebut.Suara garau bapanya itu membuatkan dirinya terkejut.Tanpa berlengah lagi,dia terus bangkit dan turun dari katil

"Aduh!Sakitnya kepala aku!Apa yang aku buat semalam?"

Ha-Neul langsung tidak mengingati peristiwa yang berlaku malam semalam.Yang diingati olehnya hanyalah dirinya,Hana dan Eun-Tak berada di sebuah kelab malam.Dia cuba melawan kesakitan tersebut dan terus keluar dari biliknya.

"Cepatlah bersiap,kita akan pergi ke gereja.Minta ampun dari Tuhan atas kesalahan kau semalam." Kata Encik Hwan.Dia amat menyayangi anaknya.Tidak mahu dia mengherdik anaknya itu yang berada dalam keadaan yang mamai.

"Kesalahan?Apa yang saya lakukan?" Ha-Neul bingung.

"Semalam,Hana dengan Eun-Tak bawa kamu balik ke rumah.Ha-Neul masa tu dalam keadaan mabuk.Sampai sahaja kamu masuk rumah,kamu terus pengsan." Terang Puan Hwa dalam keadaan yang tenang dan lembut.

"Dah,apa tunggu lagi?Pergilah mandi!" Herdik Encik Hwan.Geram melihat anaknya dalam keadaan yang terpinga-pinga.

Selepas semuanya sudah pun bersiap,Ha-Neul dan keluarganya menuju ke gereja yang berdekatan.Puan Hwa dan Encik Hwan merupakan penganut agama Kristian Katolik.Sudah menjadi rutin harian mereka untuk pergi ke gereja setiap hari Ahad.Selepas selesai urusan di gereja,mereka akan bergerak ke restoran berdekatan untuk makan bersama.

Setibanya mereka di gereja,loceng gereja bertalu-talu dimainkan yang merupakan panggilan sembahyang dalam ajaran Kristian.Mereka pun terus memasuki gereja tersebut dan duduk di kerusi-kerusi yang telah disediakan.Hati Ha-Neul mula berasa bosan.Dia mula tertanya-tanya,mengapa dia perlu pergi ke gereja pada setiap hari Ahad?Ha-Neul merasakan beribadah itu mengganggu hidupnya seharian.

Mahu juga dia menjadi seperti rakan-rakan yang lain.Tidak terikat langsung dengan agama.Baginya,penganut-penganut sesuatu agama adalah orang yang pendek akal dan menyusahkan diri sendiri termasuk ibu bapanya juga.Dia mahu bebas,dia mahu menjadi seorang ateis.Namun,dia takut untuk meluahkan hasratnya kepada keluarga.

"Paderi,tolong bantu anak saya ini,doakan untuknya supaya diampuni dosa-dosanya." Encik Hwan terus pergi ke arah paderi tersebut sejurus upacara sembahyang selesai.

Paderi tersebut meminta Ha-Neul untuk melutut dihadapannya.Ha-Neul menuruti sambil menyilangkan jari-jemarinya seakan-akan mahu berdoa.Hanya tangan sahaja yang bergerak,namun hati langsung tidak tidak terkesan.Ha-Neul langsung tidak mempercayai Tuhan!

Setelah beberapa minit berlutut,paderi tersebut mendekati Ha-Neul sambil membuat tanda salib di kepala wanita tersebut.

"Semoga Yesus mengampunimu wahai anak muda." Kata paderi itu.

*****

Hujan gerimis membasahi bumi Hannam-Dong,tempat di mana Ha-Neul tinggal bersama-sama keluarganya.Dia menggapai baju hujan yang disangkut di dinding biliknya lalu terus menuruni tangga.Keadaan rumahnya sunyi sepi.Tidak kelihatan langsung kelibat ibu dan bapanya yang terlebih dahulu telah keluar untuk pergi mencari rezeki.Ha-Neul membuka pintu rumah dan menguncinya dari luar.Dengan pantas dia berjalan menuju ke Stesen Hannam.

"Aduh,aku dah lambat ni!" Ha-Neul kaget.Dia menyedari yang dia sudah lewat.Takut juga tren yang akan membawanya ke kolej meninggalkannya begitu sahaja.

Melihat jam di tangannya menunjukkan angka tujuh lima belas minit pagi,dia terus mengorak langkahnya dengan lebih pantas.Ha-Neul berlari sekuat hatinya menuju ke stesen.Peluh sudahpun membasahi dahinya.Dalam keadaan yang masih berlari,Ha-Neul cuba untuk menggapai tuala kecilnya namun tidak berjaya.

Setibanya di stesen tersebut,Ha-Neul terus meluru masuk ke arah tren yang akan membawanya ke Universiti Hanyang.Ha-Neul melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi berhampiran dengan pintu tren yang dimasuki olehnya tadi.Dia mengeluarkan sebotol minuman mineral dan terus meneguknya.

"Letih semacam je nampak 'boss' kita ni?" 

Ha-Neul berpaling ke arah kanannya,alangkah terkejutnya Ha-Neul selepas melihat Eun-Tak dan Hana di sebelahnya.

"Eh,korang?Pasal tak pergi rumah aku tadi?Kan kita boleh gerak sama-sama."

"Alahai kau,aku dekat luar tadi menjerit sampai nak keluar anak tekak tau!Ikutkan hati,nak je aku robohkan pintu rumah kau!" Hana tiba-tiba serius.

"Hehe,sorry la sis.Malam semalam aku tengok Running Man la.Tu yang terlajak tu." Ha-Neul cuba mengambil hati rakannya itu semula.

"Yang kau tahu pagi ni ada kelas kau layan Running Man dah kenapa?Nasib aku ni baik hati suruh si Hana ni tinggalkan kau.Takut mengganggu jiran-jiran lain..."

"Kalau tak aku dah jadi gorila dah.Hahahaha." Hana menyampuk dalam keadaan yang berseloroh.

Tiga orang gadis riang nampaknya di dalam tren tersebut.Keadaan di dalam tren yang sejuk sehingga mencengkam tubuh Ha-Neul membuatkan dia menggigil.Namun,pemandangan yang indah di sepanjang pesisir Sungai Han pula membuatkan Ha-Neul berasa tenang.

"Walaupun dah lama aku duduk sini,tapi aku belum puas lagi tengok keindahan Sungai Han.Cantiknya!"

"Secantik-cantik mana pun sungai tu,banyak orang bunuh diri kat situ tau.Kau kena ingat."

"Ye,aku ingat.Kacau betullah kau ni!Aku nak puji sungai tu sikit pun tak boleh.Nanti kalau aku puji kau,hidung pula kembang." Ha-Neul cuba berlucu.

"Okay lah,jumpa korang balik nanti.Bye." Hana dan Eun-Tak mengucapkan selamat tinggal kepada Ha-Neul.Meskipun mereka berdua kenalan rapat sejak dari sekolah rendah lagi dan takdir menemukan mereka semula di Universiti Hanyang,namun aliran pelajaran mereka bertiga adalah berlainan.

"Bye."

Ha-Neul mengatur langkah menuju ke kelasnya.Setibanya dia melangkah masuk ke kelas,dia melepaskan keluhan yang panjang.

"Huhh,nasib baik prof belum sampai lagi.Kalau tak,matilah aku."

Dia mengambil tempat di tengah kelas.Kerusi di kiri dan kanannya kosong,tiada siapa yang mahu duduk di sebelahnya.Kebanyakan pelajar di situ malu untuk duduk bersebelahan dengan Ha-Neul kerana dianggapnya Ha-Neul itu tidak setaraf dengan mereka.Seorang demi seorang pelajar masuk ke dalam kelas,akhirnya kelibat yang ditunggu-tunggu berkunjung tiba.

"Selamat pagi semua,sebelum saya memulakan pelajaran pada hari ini,saya akan memperkenalkan seorang pelajar baharu yang bernama Dae-Hyun."

"Dae-Hyun,sila perkenalkan diri kamu." Arah Profesor Watanabe yang berasal dari Jepun itu.

"Hai,nama saya Kim Dae-Hyun,saya berasal dari Pulau Jeju,sila beri tunjuk ajar."

Entah bagaimana,hati Ha-Neul mula tertarik dengan lelaki tersebut.Jantungnya semakin berdegup kencang selepas Dae-Hyun menarik kerusi untuk duduk di sebelahnya.Ha-Neul cuba tenang dan matanya kembali fokus ke arah profesor di hadapan kelas.

"Baiklah,sekarang kita mulakan kelas pada pagi ini.Sambung topik pada minggu lepas."

Profesor Watanabe memulakan kelasnya.

"Hai,nama saya Dae-Hyun." Dae-Hyun menghulurkan tangannya ke arah Ha-Neul sejurus selepas kelas tamat.Ha-Neul terkejut dengan tindakan pemuda tersebut.Namun,digagahkan tangannya untuk membalas sapaan tersebut.

"Hai..sa..saya Ha-Neul,Kim Ha-Neul."

"Wah,kebetulan nama keluarga kita sama!" Dae-Hyun teruja.

"Ya,benar." Ha-Neul membalas,pendek.

"Boleh tak kita pergi minum di kafe?" Soal Dae-Hyun.

"Maaf,saya tidak dapat kerana ada urusan di rumah." Ha-Neul terpaksa menipu.Sebenarnya dia berasa malu tatkala berhadapan dengan lelaki tersebut.Tanpa berlengah lagi,dia terus menggalas begnya dan keluar dari kelas.

"Weh,kau tahu tak tadi,dekat kelas aku ada pelajar baharu." Ha-Neul membuka cerita.

"Siapa,siapa?Lelaki ke perempuan?" Tanya Eun-Tak.

"Lelaki,nama dia Kim Dae-Hyun."

"Wah,mantaplah.Mesti 'handsome' kan?" Hana menyampuk.

"Handsome.Aku rasa lah kan,aku dah start minat dia lah." Ha-Neul meluahkan perasaannya.

Eun-Tak menepuk dahinya.

"Tak payahlah Ha-Neul.Kau ambil iktibar dari cerita aku je dah.Lelaki mana boleh dipercayai!Nasib baik malam tu bapa aku datang,kalau tak habislah aku." Eun-Tak cuba menasihati rakannya itu.

Ha-Neul senyap.Hana pula hanya menyandarkan dirinya di kerusi tren sambil melayari laman media sosialnya.

"Tapi aku rasa dia baik la." 

"Ala takpe,asalkan jaga diri je.Bukannya buat apa-apa pun." Hana cuba mengembalikan semangat kawannya itu.

"Terpulanglah dekat kau,aku nasihat je.Kalau kau rasa boleh jaga diri."

Hari demi hari dia memendamkan perasaannya itu.Mahu juga dia meluahkan,namun dia khuatir.Khuatir akan cintanya tidak berbalas.Setelah sekian lama berfikir,dia mengambil keputusan untuk meluahkan juga segala isi hatinya yang terpendam.

"Dae-Hyun,saya..saya sebenarnya suka kepada awak."

Dae-Hyun terkejut,mukanya berpaling ke arah Ha-Neul.Melihat keadaan Dae-Hyun yang kurang senang dengannya,lantas Ha-Neul bersuara kembali.

"Lupakan sahaja lah."

"Ha-Neul,saya sebenarnya juga suka dekat awak.Cuma saya tak tahu macam mana nak luahkan."

Ha-Neul terkaku buat seketika.Jantungnya berdegup kencang,tidak disangka olehnya untuk mendapatkan jawapan sedemikian.Hatinya seolah-olah melonjak keriangan selepas  Dae-Hyun melafazkan kata-katanya tadi.

*****

"Bosannya!"

Ha-Neul tidak tahu apa yang perlu dilakukan dirumah sendirian.Hana dan Eun-Tak perlu hadir ke kelas di universiti.Kebiasaannya,tatkala waktu senggang,dia akan keluar bersama-sama dengan Dae-Hyun namun,Dae-Hyun pula perlu mengikut ibu dan bapanya pulang di Pulau Jeju atas asbab masalah keluarga.Ha-Neul berfikir sejenak apa yang perlu dia lakukan.Akhirnya dia mendapat akal.Dia terus berlari menuju ke arah biliknya.Selepas semuanya sudah selesai,Ha-Neul dengan gembiranya keluar dari rumah.Rancangannya adalah untuk berjalan-jalan di sekitar Itaewon.

Dia mula mengatur langkah menuju ke stesen Hannam menuju ke Itaewon.Setibanya dia di sana,Ha-Neul berjalan-jalan sambil melihat pelbagai gerai-gerai dan kiosk di tepi jalan.Kakinya menapak satu per satu,memasuki setiap lorong-lorong untuk mencari tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi.Akhirnya,dia berhenti di sebuah restoran menjual makanan korea.Meskipun berkali-kali dia mengunjungi restoran tersebut bersama ibu bapanya selepas pulang dari gereja,keenakan dan keistimewaan Jajangmyeon di restoran tersebut cukup menarik minat Ha-Neul kembali ke restoran tersebut.

"Sedapnya Jajangmyeon ni." Ha-Neul tersenyum kegembiraan.

Usai sahaja dia memenuhkan perutnya dengan hidangan kegemarannya itu,dia meneruskan perjalanannya di sekitar kota tersebut.Tiba-tiba,dia terdengar satu suara yang membuatkan dirinya amat tenang.Ha-Neul menyangkakan itu adalah nyanyian lagu korea klasik.Hal tersebut menarik minatnya untuk memasuki sebuah bangunan yang berkubah dan berwarna putih tersebut.

"Pelik,aku tak pernah nampak tulisan ini,ini bukan tulisan Hangul." 

Ha-Neul berasa pelik buat seketika waktu selepas tulisan di pintu masuk bangunan tersebut adalah tulisan yang ganjil dan tak pernah dilihat olehnya.Namun,hal tersebut tidak mematahkan semanagatnya untuk menyaksikan persembahan nyanyian tersebut.

"Hayya ala Solaaah."

"Hayya ala Solaaah."

Alunan suara yang merdu tersebut membuatkan rasa ingin tahu Ha-Neul semakin membuak-buak,dia pun terus melangkah masuk ke bangunan putih tersebut.

"Maaf cik,ini tempat jemaah lelaki,sila ikut pintu di sana untuk jemaah perempuan." Kata salah seorang lelaki yang juga sedang mengatur langkah untuk masuk ke dalam masjid.

Tanpa banyak bicara,Ha-Neul akur,dia pun terus menuju ke arah tempat yang disediakan khas untuk wanita.Tatkala dia memasuki ruang wanita,kelihatan semua para jemaah sudahpun bersedia untuk menunaikan solat Zuhur.Jauh di sudut hatinya,mahu juga dia meninggalkan tempat itu,namun pergerakan para jemaah wanita yang sedang bersolat membuatkan ditambah lagi dengan alunan ayat suci al-Quran dari imam membuatkan perasaan ingin tahunya membuak-buak.Tidak pernah dia berada di dalam situasi sedemikian.

"Boleh saya bertanya,siapakah yang sedang bernyanyi dari tadi?" 

"Menyanyi?" Shafeena berasa sedikit pelik.Direnung pula wanita yang berusia 20an tersebut.Shafeena mula memahami maksud pertanyaan Ha-Neul tadi,ternyata dia bukanlah seorang muslim.

"Itu adalah imam,dia bukan menyanyi,namun dia membaca ayat-ayat suci al-Quran."

"Al-Quran?Apa itu?" Soal Ha-Neul.

Melihat anak muda tersebut mempunyai perasaan ingin tahu akan Islam,dengan murah hatinya,Shafeena cuba menerangkan.

"Al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang diturunkan oleh Allah kepada Muhammad sallallahu alaihi wasallam."

Ha-Neul tersentak selepas mendengar perkataan 'Islam'.Jauh di sudut hatinya,terbayang kejahatan pengganas-pengganas Islam di Timur Tengah.Taliban,Hamas dan dan ISIS membunuh tanpa kira usia dengan kejam.Namun,perasaannya tersebut ditumpaskan dengan sebuah tanda tanya.Mengapa agama yang sopan dan beradab ini dikecam oleh masyarakat dunia?Apa salah mereka?

Ha-Neul yang dikenali sebagai Ateis kini sudah terikat dan jatuh hati dengan agama Islam.Hatinya yang dahulu keras bagaikan batu menolak segala kepercayaan keagamaan kini bertukar lembut bagaikan kekabu.

"Maaf,kalau tidak mengganggu bolehkah ajar saya tentang Islam dan Al-Quran?" Ringan sahaja mulut Ha-Neul untuk mengucapkan kata-kata tersebut. 

"Boleh,apa salahnya.Nah,ambil lah al-Quran terjemahan ni sebagai permulaan awak."

Sejak peristiwa itu,Ha-Neul semakin rajin untuk datang ke masjid tatkala ibu bapanya pergi ke kerja.Dia cuba sedaya-upaya untuk menyembunyikan apa yang dilakukan olehnya.Namun,setiap hari Ahad,dia akan pergi ke gereja bersama-sama ibu bapanya supaya tidak menimbulkan syak wasangka kepada mereka.

"Shafeena,mungkin Allah dah buka pintu hati aku untuk menerima Islam."

Ha-Neul sudah mula merasakan dirinya kini patut untuk memeluk agama Islam.

"Alhamdulillah,tapi boleh tak aku tahu,apa sebenanya tujuan kau masuk Islam dan kenapa kau tertarik dengan Islam?" 

Shafeena sahaja menguji rakan yang baru dikenalinya itu.

"Lepas aku baca terjemahan Al-Quran ni,aku rasa macam lain.Segala yang aku belajar dekat universiti telahpun diterang kemas dalam Al-Quran.Kejadian manusia,kejadian bintang,pertukaran siang dan malam dan proses bermulanya alam semesta telahpun diterangkan dalam Al-Quran.Aku rasa sudah tiba masanya untuk aku menerima Islam." Balas Ha-Neul dengan panjang lebar.

Shafeena menggangguk.Nampaknya dia berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Ha-Neul.

"Asy hadu alla ila ha illallah wa asy hadu anna Muhammad rasulullah."

Dengan izin Allah,akhirnya Ha-Neul dikurniakan hidayah untuk memeluk agama Islam.Siapa sangka,seorang remaja wanita yang dibesarkan dalam keluarga Katolik dan menolak kepercayaan serta lebih rela menjadi seorang Ateis akhirnya memeluk Islam selepas tertarik dengan laungan azan.Ha-Neul berasa lega selepas dia selamat memeluk Islam.Kini,dia perlu untuk memberitahu kepada kedua ibu bapanya tentang kepercayaannya yang baharu.

"Macam mana aku nak bagitahu dekat mak ayah aku yang aku ni Islam?"

"Macam mana pula dengan reaksi kawan-kawan aku?Adakah mereka akan menyisihkan aku?"

"Macam mana dengan Dae-Hyun?"

Semua masalah terlintas di fikirannya.Namun,dia cuba untuk tenang.Ha-Neul kembali semula ke masjid untuk berjumpa dengan 'sifu' nya itu.

"Ha-Neul,cuba buka al-Quran tafsir kau dan buka Surah al-Isra' ayat 17."

Shafeena tidak mahu menuju terus ke topik utama,sebaliknya dia cuba untuk mendedahkan kepada Ha-Neul bahawa setiap masalah dunia mempunyai solusinya  dan solusi itu semestinya Al-Quran.

"Cuba kau baca."

"Dan janganlah kamu menghampiri zina,sesungguhnya zina itu adalah salah satu perbutan yang keji dan satu jalan yang jahat."

"Bagus.'La Taqrabuz Zina'.Nabi Muhammad dulu pernah bersabda bahawa 'Sesungguhnya Allah mencatat yang tidak dapat dan tidak berlaku ke atas anak-anak Adam.Zina mata itu adalah pandangan,zina lidah itu adalah ucapan,nafsu mengharap dan berkeinginan,dan kemaluan itu mengiakan atau mendustakannya'.Jadi,nak mengelakkan zina ni,sebagai seorang muslim apatah lagi kita seorang wanita perlulah menundukkan pandangan,jangan pakai pakaian yang ketat dan menampakkan aurat.Itu yang penting.Seterusnya jangan kita 'bercouple',sebab dengan 'bercouple nilah akan mewujudkan tiga zina tadi."

"Macam mana pulak tu?"

"Kau bayangkan eh,kalau kau 'bercouple',mesti korang akan berpandangan sesama sendiri,itu dah zina mata.Lepastu,kalau jenis yang tak ada maruah,mesti cakap benda yang bukan-bukan dan akhirnya terbitlah perasaan nak berzina.Kau nak jadi macam tu?"

Ha-Neul menggelengkan kepala.Tidak mahu perkara tersebut berlaku pada dirinya.Dia mula mengambil iktibar terhadap apa yang dilalui oleh Eun-Tak yang hampir dirogol oleh teman lelakinya.Selepas Ha-Neul memeluk Islam,baru dia sedar akan kebatilannya sendiri.

"Sedangkan dekati zina pun Allah murka apatah lagi kita berzina." Shafeena menyambung.

"Macam mana pula dengan mak ayah aku?Mesti diorang marah." Ha-Neul kembali kepada topik utama.

"Sabar.Tunggu masa yang sesuai,nanti mula-mula memang mereka marah.Lama-kelamaan okay la tu.Sama lah juga macam aku.Jangan risau,nanti aku tolong kau."

Mendengar kata-kata kawan baharunya itu,serta-merta dia bersemangat.Akan dia tempuhi pelbagai cabaran yang akan dia hadapi dengan tenang dan sabar.

"Bismillahirrahmanirrahim."

*****

Jari-jemarinya bergerak sepantas kilat.Dia sudah menyedari kesilapannya.Ha-Neul yang dahulu bukanlah Ha-Neul yang sekarang.Sememangnya dahulu dia boleh buat apa sahaja yang dimahukannya kerana dia bukanlah seorang yang percaya terhadap agama seperti kebanyakan orang di bumi Korea.Namun,segalanya sudah berubah,dia sudah pun memeluk Islam.Dia perlu membuat sesuatu.

"Dae-Hyun,boleh tak saya nak jumpa awak di tebing sungai?" Taip Ha-Neul di dalam aplikasi Kakao Talk.

Kebetulan pula Dae-Hyun di dalam talian saat Ha-Neul menghantar mesej tersebut.Tanpa menunggu lagi,dia pun membalas.

"Boleh.apa salahnya."

Selepas Ha-Neul membaca mesej tersebut,dia terus bergerak menuju ke tebing Sungai Han.

"Lamanya dia ni." Ha-Neul mengeluh.

Setelah lama menunggu,akhirnya pemilik suara yang ditunggu-tunggu berkunjung tiba.

"Hai Ha-Neul,maaf membuatkan awak menunggu lama,saya singgah di kedai sebentar untuk membeli kopi.Awak suka kopi kan?Nah." Kata Dae-Hyun sambil menghulurkan secawan kopi panas ke arah Ha-Neul.

Ha-Neul menerima kopi tersebut.Mulutnya ringan untuk mengucapkan ucapan terima kasih,namun hatinya berat untuk meluahkan perkara sebenar kepada Dae-Hyun.Dia menyedari,bukan mudah untuk putuskan hubungan yang telah lama ini.Setelah berbulan-bulan,hubungan mereka semakin serius.Dua hati yang terikat,tidak mudah untuk diputuskan begitu sahaja.Namun,demi mengejar cinta yang suci,cinta Illahi,dia harus meninggalkan cinta yang dilumuri nafsu.Apatah lagi Dae-Hyun bukanlah seagama dengan dirinya.

"Sa..saya nak cakap sesuatu." Ha-Neul tergagap-gagap.

"Hmm,apa dia?" Balas Dae-Hyun,sedia untuk mendengar.

Ha-Neul menghirup sedikit kopi tersebut.Setelah tekaknya berasa lega,barulah dia memulakan bicara.

"Saya nak putus."

Kopi yang baru sahaja dihirup oleh Dae-Hyun serta-merta tersembur.

"Apa awak cakap ni?Awak okay ke tak?"

"Saya okay dan saya nak minta putus."

"Ha-Neul,saya betul-betul cinta akan awak,saya sayang awak.Memang dah bercadang pun kan,lepas final exam kita akan berkahwin?Awak lupa ke semua itu.?"

"Saya tak lupa."

"Jadi?"

"Sebab saya bukan lagi seorang Katolik dan berfahaman Ateis!" Ha-Neul mula bertegas.

Muka Dae-Hyun serta-merta bertukar serius.Dia memandang wajah kekasihnya.Namun,Ha-Neul tidak membalas pandangan itu.Semahu-mahunya dia ingin menjaga maruahnya meskipun masih belum berhijab.Imannya masih lagi belum cukup kuat untuk menghadapi pandangan masyarakat.

"Maksud awak?"

"Saya kini seorang Muslim.Islam telah banyak mengajar saya tentang cara kehidupan,dan salah satunya melarang cinta sebelum nikah."

"Kalau macam itu saya nak jadi Muslim."

"Baik tak perlu jikalau awak jadi Muslim disebabkan saya!" Ha-Neul sekali lagi bertegas.Dia tidak mahu teman lelakinya itu memeluk Islam kerananya,bukan kerana Allah.Tidak mahu memanjangkan perbicaraan,dia terus meninggalkan Dae-Hyun keseorangan.

"Ha-Neul!Tunggu!"

"Maaf,nama saya bukan lagi Ha-Neul,tetapi Nafasya Filzah."

Dae-Hyun terkaku selepas Ha-Neul pergi meninggalkan dirinya begitu sahaja.Hatinya remuk.Hubungan yang telah dibina bebulan-bulan tersebut akhirnya lebur dalam masa 5 minit sahaja.Jauh di sudut hati Ha-Neul pula,dia berasa lega selepas berjaya meluahkan apa yang terpendam di lubuk hatinya.

*****

Malam itu,selepas selesai dia bersolat Maghrib di rumahnya secara senyap-senyap,dia turun ke ruang tamu untuk menonton televisyen bersama-sama dengan keluarganya.Nafasya berasa amat takut kerana bapanya itu amat tegas dalam soal agama.

"Ha-Neul lihat itu,kamu tidak berasa lawak kah dengan Jae-Suk?Dah lah jatuh.Hahahaha."

Encik Hwan ketawa berdekah-dekah diikuti dengan isterinya.Nafasya pula hanya melayan sahaja gelak tawa ibu bapanya itu.Menunggu masa yang sesuai untuk memberitahu kebenaran.

"Ayah,Mak,Ha-Neul nak bagi tahu sesuatu."

Keadaan yang kecoh dihiasi dengan gelak tawa tadi secara automatik senyap.Mata kedua-dua pasangan itu diarahkan ke Ha-Neul.

"Ada apa Ha-Neul?Ha-Neul ada masalah ke?Boleh cerita dengan mak dan ayah.Manalah tahu,kami boleh selesaikan." Balas Puan Hwa.

Dalam keadaan yang amat takut,dia cuba untuk menarik nafasnya dalam-dalam.

"Saya dah menjadi seorang Muslim."

Mendengar sahaja kata-kata Ha-Neul,Encik Hwan terus menekan butang menutup televisyen.

"Kau ulang sekali lagi."

"Saya dah menjadi seorang Muslim."

"Kau ulang sekali lagi!" Suara Encik Hwan semakin tinggi.

"Saya dah menjadi seorang Muslim!"

"Ha-Neul,Islam tu agama sesat!Kenapa kau ikut?" Soal Puan Hwa,tenang dan tidak seperti bapanya.

Nafasya hanya mengunci mulut.Air matanya mengalir.Nampaknya dia sungguh takut.Dia mendongakkan kepalanya.Ternyata apa yang difikirkan selama ini benar-benar berlaku dihadapannya.Dia sungguh takut melihat muka bapanya yang merah-padam.Lantas Encik Hwan mengambil salib yang tergantung di pintu masuk rumahnya.

"Wahai Syaitan!Keluar lah engkau dari badan anak aku!Keluar!" Encik Hwan berteriak sambil meletakkan salib di kepala Hidayah.Keadaan di dalam rumah semakin kecoh.

"Ya Allah,kau bantulah aku!" Nafasya menjerit,tidak tahan lagi dengan keadaan tersebut.

"Ohh,kau bukan main-main ye."

Encik Hwan terus menarik tangan Nafasya dan mengheretnya menuju ke bilik tidur Hidayah.

"Aku bagi kau masa 10 minit,keluar!Keluar kau dari rumah ni!Kafir!Murtad!"

Meskipun Puan Hwa tetap berasa pilu dengan tindakan anaknya itu,namun masih lagi tersimpan kasih sayang di dalam hatinya terhadap Nafasya.Dia cuba memujuk Nafasya agar kembali tenang dan berubah kepada fahaman asal.Nafasya pula sudah pun mengetahui bahawa perkara ini akan terjadi.Namun,atas nama Islam,dia sanggup mengharungi segala cabaran dan pandangan masyarakat.

"Ini permulaan aku.Tugas aku adalah lebih besar lepas ni!Aku kena berdakwah pula kepada ibu bapa aku dan masyarakat!Mereka tidak boleh memandang serong lagi kepada Islam!Kau kena kuat Nafasya!Jihad Fisabilillah!" Nafasya cuba memberi semangat kepada dirinya yang sudah lemah.Dia menagis teresak-esak akibat menjadi mangsa kemarahan ayahnya.Puan Hwa pula tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menuruti sahaja kehendak suaminya itu.Takut juga menjadi mangsa api amarah lelaki tersebut.

"Sudah,tunggu apa lagi!Keluar!Pergilah kau!Jangan kau jejakkan kaki lagi dekat sini!" Encik Hwan berteriak sehingga membuatkan para jiran keluar dari rumah mereka untuk melihat apa yang berlaku.

Insiden tersebut disaksikan oleh jiran-jiran yang lain.Dalam keadaan yang malu,Nafasya berjalan melewati kawasan kejiranan tersebut.Suasana malam yang sejuk ditambah lagi dengan suasana yang gelap-gelita akibat lampu jalan yang rosak,membuatkan Nafasya berasa seram-sejuk.Dia menapak perlahan-lahan menuju ke arah stesen tren bawah tanah dan terus meninggalkan bumi Hannam menuju ke Itaewon.Dia berehat di masjid tersebut.

Azan subuh berkumandang,bingkas Nafasya bangun dan mengambil wudhu'.Masih segar lagi diingatan peristiwa yang menimpanya semalam.Serta-merta dia menjadi lemah.

"Ya Allah,Kau kuatkanlah aku."

*****

Semua mata pelajar universiti tidak kira lelaki atau perempuan tertumpu ke arah seorang gadis yang anggun berbaju merah dan bertudung biru.Setelah sebulan dia dibuang oleh keluarganya,bermacam-macam cabaran dilalui olehnya.Mujur,orang yang membimbingnya tentang hal selok-belok Islam kini membantunya untuk meneruskan kehidupan.Shafeena telah pun mempelawa Nafasya untuk tinggal bersama-sama dengannya.Shafeena juga merupakan seorang pelajar di Universiti Hanyang yang tinggal di sekitar Itaewon.Akhirnya,akibat daripada kesempitan hidup,dia menerima pelawaan Shafeena.

"Feena,aku malu lah.Banyak orang pandang ni." Nafasya menyuarakan kerisauan kepada Shafeena yang berada di sisinya.

"Jangan risaulah,buat-buat cool and relax je.Diorang tak makan kita pun." Shafeena cuba untuk menenangkan Nafasya.

Gementar juga hati Nafasya saat pertama kali dia berhijab di universiti.Sejak daripada dia memberitahu rakan-rakannya yang dia seorang Muslim,ramai kawan-kawan mula memulaukannya.Mujurlah Hana dan Eun-Tak tetap disisinya.Mereka menerima penghijrahan Nafasya.Itulah yang dikatakan sahabat.Sentiasa ada tatkala senang atau susah dan paling penting memahami segala masalah dan perasaan kita.

"Ala,tak kira pun apa agama kau,janji kita tetap kawan"

Terlintas kata-kata Eun-Tak saat pertama kali Nafasya mendedahkan dirinya bahawa dia seorang Muslim.Bukan itu sahaja,semakin lama dia menyelami Islam,semakin banyak kenalan yang dia dapat.Sesungguhnya,apabila Allah menarik sesuatu,pasti Dia akan menggantikannya dengan lebih baik lagi.

Itulah dia perjuangan seorang mualaf.Aku mengerti,pasti perit perjalanan seorang mualaf pada awalnya namun percayalah segala titik peluh dan usaha yang dilakukan olehnya pasti akan dibalas juga.Tidak di dunia,akan di akhirat kelak.Meskipun air matanya jatuh kerana merindui kehidupan lamanya,namun tangannya tidak pernah lelah untuk berdoa pada Tuhan Yang Satu supaya memberi hidayah kepada kedua orang tuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Budak Baru

Pagi itu,jalan raya mula diluncuri dengan pelbagai jenis kenderaan.Masing-masing sedang bergerak menuju ke arah hala tuju mereka.Sama ada ya...